Thursday, January 21, 2010

Memori 3 - Ipoh, Sketsa 70'an

           Penglibatan dalam sukan ping-pong pada peringkat permulaan, 70'an ini, bukannya mudah. Banyak ranjau yang perlu dilalui, kerana berlainan dengan sekarang, banyak kelab-kelab Melayu yang tumbuh. Pemain-pemain Melayu ketika itu terpaksa menumpang di kelab Cina, seperti disebut terdahulu, tetapi jika hendak di bandingkan, mutu permainan terlalu jauh beza.
Pemain-pemain Melayu sukar mendapat tunjuk ajar. Peningkatan melalui pengamatan hanya berdasarkan kepada hadir melihat sendiri, bukan seperti sekarang, banyak tayangan video, Astro, TV yang memaparkan aksi-aksi kelas dunia. (foto atas: Stellan Bengtson, Sweden)

          Pada waktu itu, pada pengalaman saya, ia dibantu oleh "kitab" ping-pong yang diimpot dari Jepun. Ya! majalah ping-pong "Butterfly". Dari situlah segala strok, teknik ping-pong dipelajari. World class player seperti, trio Hungary Istvan Jonyer, Tibor Klampar, Gabor Gergerly dari Sweden Stellan Bengtson, Dwell Johasson, Mikael Appegren, Ulf Kalsson begitu juga dari China, Gua Yao Hua, Li Shen Shih, Xe Saike dll.

           Adalah menjadi penantian setiap bulan, keluaran yang terbaru akan terbit, maka pesanan awal dibuat, jika tidak, tidak dapatlah naskhah yang dinanti-nanti. Di Kuala Lumpur, Shanghai Book Store, Jln. Petaling menjadi perhatian dengan segala peralatan, buku-buku ping-pong ketika itu (70 & awal 80'an).

           Tidak dapat dinafikan, rujukan dari kitab-kitab ping-pong ini telah banyak membantu, dari segi peningkatan mutu ping-pong ketika itu.

Monday, January 18, 2010

Memori 2 - Ipoh, Sketsa 70'an

Tidak dapat dinafikan, selepas kursus awalan ping-pong kendalian Mr. Masamichi Yazawa, aktiviti ping-pong kami telah berubah. Saudara Ahmad telah berhijrah ke Kuala Lumpur, (beliau mula berkhidmat dengan MAS), manakala saya bekerja di sebuah syarikat pengiklanan.

Aktiviti ping-pong dipenuhi dengan "merantau" dari satu ke satu kelab kelab ping-pong Cina di bandar Ipoh, dengan saudara Hashim Bahari(seorang lagi rakan seperjuangan ping-pong di Ipoh). (Foto atas: foto beramai-ramai setelah acara penyampaian hadiah, peringkat "Non-Chinese" Perak, 1974 di Tapian Gelanggang, Stadium Negeri Perak).
Berbagai pengalaman ditempuhi semasa "merantau" itu, boleh dikatakan setiap kelab Cina yang ada sukan ping-pong, akan kami singgah serta menimba ilmu, tetapi ada yang memandang sepi akan kehadiran kami dan ada yang kehairanan. Mengapa tidak, belia Melayu datang ke kelab mereka...maka kami terpaksalah tengok-tengok jika ada peluang untuk bermain, itu pun meja yang hujung yang agak senget & tidak digunakan.

Bermain dengan pemain Cina di kelab seperti Ka Ying, Kuang Chow & Jubilee park ketika itu , amat memerlukan kesabaran, jika tidak, kesungguhan akan pudar & terhenti, kerana kerenah mereka yang tidak begitu hendak layan dengan kehadiran kami.
Foto atas: foto beramai-ramai setelah acara penyampaian hadiah, peringkat "Non-Chinese" Perak, 1975 di Dewan Sek. Menenggah Agama Izzudin Negeri Perak).

Tetapi agak berlainan sekali jika seorang demi seorang pemain mereka dapat kami kalahkan, maka disitu akan terdapat kesungguhan mereka untuk "menunjuk ajar", sehingga mencadangkan kami memasuki pertandingan peringkat daerah & negeri. Saya masih teringat kepada pertandingan di peringkat negeri di sekolah Sam Tet, dimana apabila melewati tepi dewan pertandingan, kedengaran bunyi pukulan "strok" yang bersambungan telah membuatkan saya kecut-perut. Apabila masuk dewan, tergamam melihat peserta-peserta sedang strok.

Kadang-kadang rasa nak angkat kaki saja, tetapi oleh kerana minat, maka diteruskan...itulah pengalaman pertama memasuki Perak Table Tennis open 1974. (Juara ketika itu Chong Kong Wah).

Sunday, January 17, 2010

Memori 1- Ipoh, Mr. Masamichi Yazawa


Tahun 1973, selepas peperiksaan MCE. Ketika itu saya tercari-cari apakah sukan yang dapat diceburi, memandangkan terdapat begitu banyak sukan yang dimainkan oleh belia-belia di PSP no. 5, Sg. Senam, Ipoh ketika itu. (Foto atas: Semua peserta kursus awalan ping-pong kelolaan KKBS negeri Perak, di bawah jurulatih Mr. Masamichi Yazawa. 1973, dalam gambar, saya duduk kiri, dihadapan saya, saudara Shahul Hamed, beliau merupakan Juara Pertama "Non-Chinese" Kebangsaan, saudara Ahmad Nordin berdiri, lapan dari kiri & Mr. Yazawa duduk enam dari kanan).

Walaupun terdapat aktiviti-aktiviti lain, seperti belia tani, kebudayaan (silat) seni visual & belia niaga, namun sukan menjadi pilihan pada kebanyakan ahli belia ketika itu. Terdapat beberapa jenis sukan yang bergerak aktif ketika itu, lengkap dengan para jurulatih yang terdiri dari anggota PSP no. 5, seperti bolatampar, tennis, sepaktakraw, judo & bola sepak.
Tetapi ping-pong agak terpinggir, hanya dimainkan di parking kereta bawah flat. Pemandangan biasa, meja buatan dari plywood & racket papan atau plywood yang diubah suai.

Keadaan ini berterusan sehingga pejabat Kebudayaan Belia & Sukan daerah Kinta,(En. Zahari Hj. Mokhtar) menghantar surat pekeliling menjemput persatuan-persatuan belia menghantar peserta yang berminat untuk menghadirkan diri dalam kursus awalan sukan 'Ping-Pong', satu jemputan yang saya dan kawan-kawan dimasa itu agak hairan. Hairan kerana, pada anggapan kami sukan ini hanyalah tidak lebih sebagai hiburan saja, tidak lebih untuk dipertandingkan.
Kehadiran kami (saudara Ahmad Nordin & saya) dikursus itu memberi satu pengalaman baru yang kami tidak sangka, dimana dari saat itu minat terhadap ping-pong bercambah sehingga kini.

Walaupun saya tidak se aktif dahulu sebagai pemain, namun saudara Ahmad yang masih lagi bergerak aktif. Kursus awalan ping-pong kendalian Mr. Masamichi Yazawa itu telah merubah segalanya, sehingga minat yang mendalam dalam sukan ini dibawa ke Kuala Lumpur, terus ke PPPSkg. Pandan.